Saturday, December 7, 2013

Sajak yang tak berapa nak sajak

Bismillah,

Aku bukan Sufi ataupun Salafi,
Aku hanya manusia yang sedang mencari.

Mengenal Allah, Tuhan yang hakiki.

Pelbagai permisalan telah diberi.
Bekas untuk diisi.
Rumah, istana, takhta.
Sungguh subjektif rupanya hati ini.
Sampaikan kalau rosaknya dia, rosaklah segalanya.

Hidup di dunia sebagai pengembara.
Mengumpul bekalan di setiap persinggahan.
Akan tetapi persinggahan hanya ada satu sahaja, pabila ditinggalkan tidak akan dapat berpatah balik.

Hidup di dunia sebagai hamba. Mencari redha Tuhan di setiap langkah.
Berharap agar Tuhan sentiasa memandangnya dengan kasih, bukannya murka.

Hidup di dunia sebagai khalifah.
Memerintah bumi adil dan saksama.
Setiap makhluk Tuhan ditunaikan hak.
Agar hidup aman dan sentosa.

Sayang seribu kali sayang.
Bani Adam semakin padam.
Padam imannya, padam amalnya.
Padam segala keberahian terhadap Tuhannya.

Di mana cinta seorang hamba pada Tuhannya?

Di masjid?
Di dataran demonstrasi?
Di laman MukaBuku?
Di laman KicauBurung?
Di blog?

Hubb.
Cinta. Pyar. Love.

Tidak akan dapat ditafsirkan melalui kata,mahupun tulisan.

Cari dan rasa.
Kau sendiri harus merasakannya.

Cari. Cari. Cari.
Cari apa?
Harta?
Pangkat?
Dunia?
Cinta?

Aku masih mencari.

Aku bukan Sufi ataupun Salafi.
Ataupun sebarang label yang telah dunia wujudkan.

Aku hanya seorang manusia.
CiptaanNya.
Yang akan kembali menjadi fitrah, tanah.

Dan bila aku kembali kepadaNya,
Dia pasti akan menceritakan segala yang telah ku lakukan.